Hijrah Seorang Pendosa

Hijrah Seorang Pendosa… satu judul yang saya ingin kupas sebagai bukti siapapun kita di masa lalu kita layak untuk menjadi insan yang lebih baik bahkan jauh lebih baik pada masa akan datang.

Tapi sebelum itu kita harus mengetahui dan memahami apakah yang dikatakan dengan konteks hijrah.

Apabila seorang pendosa mengambil pendekatan atau tindakan untuk berhijrahperkara pertama yang harus dilakukan adalah memahami erti hijrah.

Hijrah satu perkataan yang mudah dilafazkan. Hijrah bukan hanya dipandang dari sudut kehidupan di dunia sahaja iaitu dari segi material (miskin ke kaya,susah ke senang). Sebaliknya hijrah perlu difahami secara menyeluruh meliputi fizikal dan rohani.

Hijrah di sini lebih ditekankan dengan konsep seorang pendosa yang melakukan perubahan dalam kehidupan di samping meningkatkan ketakwaan kepada Allah untuk menjadi seorang insan yang yang berjaya dunia akhirat.

Manakala ‘pendosa’ seorang insan yang sering melakukan kesalahan tidak kira sekecik-kecil dosa atau sebesar-besar dosa. Saya hanya pendosa, awak juga pendosa dan mereka juga pendosa kerana manusia tetap manusia.

Bagaimana hijrah itu dilakukan adakah hanya sekadar mengatakan aku ingin berhijrah sahaja?

Tidak sama sekali. Hijrah itu dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan kau lakukan perubahan sedikit demi sedikit ataupun lebih dikenali sebagai “Istiqamah”.

Inilah yang sukar dilakukan oleh setiap manusia. Ingin saya kongsikan satu kisah seorang wanita biasa seorang pendosa dan begitu jahil tentang kehidupan.

Seorang wanita yang lupa mengapa dia diciptakan, lupa apa yang harus dijaga sebagai seorang wanita. Ya dia pernah terlanjur dan sangat memberi kesedaran padanya ketika itu.

1388233311694

Atas belas ihsan dari Allah, betapa Allah menyayanginya, kasih kepadanya, cinta kepadanya maka Allah datangkan satu ujian padanya demi mendengar rintihannya. Subhanallah.

Di saat sujud terakhirnya dia selalu berdoa agar Allah jauhkan dia daripada insan yang akan menghancurkan hidupnya. Perlahan-lahan hatinya ditambahkan dengan rasa kasih dan cinta yang tinggi kepada Allah.

Bermulalah kisah penghijrahan si pendosa. Dia mula memakai handsock, stokin dan tudung labuh. Satu kata sahaja yang diungkapkan olehnya iaitu “TENANG”.

Setiap hari dia bangkit dari mimpi ngeri, setiap hari dia cuba lupakan kisah pahit dan dosa yang selama ini dilakukan, dan setiap hari dia menangis meratapi betapa hinanya dia di hadapan ALLAH.

Tapi dia tidak pernah mengalah, bahkan menjadi penguat baginya untuk terus istiqamah menjadi insan yang lebih baik.

Setelah berapa tahun dia istiqamah memakai pakaian yang menutup aurat terdetik hatinya ingin memakai purdah.

Saat pertama kali purdah di pakai, air mata menjadi peneman setia, kerana dia merasakan dia pendosa layakkah dia?

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqarah 2:218)

Setiap penghijrahan yang dilakukan sudah pastinya ada cabaran yang harus dilalui dan dihadapi. Penghijrahan itu sangat-sangat sakit dan sukar tapi yakinlah manisnya penghijrahan akan diperolehi sekiranya kita bersabar.

Dalam kita berniat untuk berhijrah, kadang-kadang ada ingin munafik sepoi-sepoi hadir dalam hati kita. Bisikan-bisikan ke halwa telinga sehingga akal menerbitkan rasa ingin bertangguh dan bertangguh lagi.

Dari situlah, bermulalah perdebatan antara akal. Itulah cabaran yang paling sukar yang harus ditempuh oleh seorang pendosa untuk berhijrah.

Tentangan dari masyarakat, cemuhan, hinaan, kritikan menjadikan seorang pendosa berasa lelah dan penat untuk berhijrah. Jujur menjadi seorang pendosa yang ingin berhijrah hati harus kental.

Perbetulkan niat dan kembali istiqamah dalam jalan hijrah. Ingatlah bahawa sentiasa ada jalan ke arah kebaikan.

 

Dipetik dari laman web iluvislam.com
Sumber: https://iluvislam.com/hijrah-seorang-pendosa/

Dah Banyak Aku Berdoa, Tapi Allah Tak Makbulkan. Kenapa?

Secara umumnya, kita semua mengetahui bahawa manusia diciptakan daripada setitis air mani yang kotor. Itulah yang dikatakan tarafnya seorang hamba yang hina dan tiada apa-apa di sisi Allah.

Namun, walau ia nampak jijik dan kotor, Allah terus mengangkat darjat kita sebagai hamba sewaktu menciptakan manusia pertama yakni Nabi Adam. Allah menempatkan Nabi Adam di singgahsana yang paling mulia iaitu di syurgaNya.

Walaupun pada mulanya malaikat membantah dengan idea untuk menciptakan manusia, tetapi atas rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada tara, Allah berpegang teguh untuk menciptakan manusia, seraya berkata kepada malaikat,

“Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah 2:50)

Selepas terciptanya Nabi Adam, Allah memerintahkan kesemua makhluk untuk bersujud kepada Nabi Adam sebagai tanda penghormatan dan memuliakan.

Kesemua makhluk sujud kecuali iblis. Fitrahnya sikap iblis yang sentiasa membantah, melakukan perkara yang mungkar, melanggar suruhan Allah dan yang paling utama bersungguh-sungguh iblis meminta kepada ALLAH untuk terus menyesatkan manusia sehingga hari kiamat, di dalam surah al-Hijr dan surah Sad,

Ya Tuhanku(kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan,”

Walaupun seburuk-buruk sifat sang iblis, ada perasaan kagum dan pengajaran yang perlu kita lihat dan ambil di sebalik doa yang dituturkan oleh iblis.

Iblis berdoa dan meminta pada ALLAH supaya diberi penangguhan waktu untuk menyesatkan anak Adam sehingga hari kebangkitan. Bukankah berdoa dan memohon sesuatu itu selayaknya buat kita manusia yang bertaraf hamba?

Jika kita sebagai manusia masih lagi sombong dan bersikap sambil lewa dalam berdoa, jadi siapa yang lebih baik perbuatannya, kita atau iblis?

Usai solat terus melipat sejadah dan mengerjakan urusan yang lain tanpa sempat berdoa. Melihat hidangan tersedia untuk dimakan, terus menyuap masuk ke dalam mulut tanpa sempat untuk berdoa,.

Atau yang lebih memudaratkan lagi apabila kita langsung tiada hati untuk berdoa dan meminta pada Allah.

allah-hope-islam-quotes-Favim.com-1153441.jpg

Saidina Umar Ibn Al-Khattab pernah berkata: “Aku tidak pernah mengkhuatirkan atau risau apakah doaku akan dimakbulkan oleh Allah atau tidak, kerana setiap kali Allah mengilhamkan hambaNya untuk berdoa, maka Dia sedang berkehendak untuk memberi karunia. Yang aku khawatirkan adalah jika aku tidak berdoa lagi.”

Ini adalah perkara yang paling kita risaukan jika kita tiada lagi hati dan perasaan untuk berdoa.

Cuba kita lihat, iblis sendiri sudah pun mengetahui kedudukannya kelak di dalam neraka, tetapi masih mahu meminta kepada Allah.

Perkataan “Ya Tuhanku” pada permohonannya jelas menunjukkan iblis mengakui bahawa Allah itu Tuhannya.

Apa bezanya iblis dengan kita, jika kita sebagai manusia lalai dalam mengerjakan solat, lupa untuk berzikir, membiarkan al-Quran sepi dan berhabuk, sombong untuk meminta dan berdoa, lantas langsung tiada nama Allah di bibir kita?

Jadi siapa yang lebih mulia, kita atau iblis? Walaupun iblis sama sekali tidak mengetahui sama ada doanya akan dimakbulkan tetapi iblis tetap meminta kepada Allah.

Maka, sebagai manusia dan hamba seharusnya kita membandingkan diri kita dengan iblis. Permohonan dan permintaan sang iblis, Allah kabulkan.

Tetapi kita masih malas untuk berdoa, malas untuk menadah tangan dengan rendah diri untuk meminta, malah masih ragu-ragu dengan Allah sama ada akan dikabulkan doa atau tidak.

“Dah berkurun aku berdoa, tapi Allah tak makbulkan pun doa aku.”

“Aku rasa Allah tak dengar doa aku, so tak payah dah lah aku berdoa.”

“Aku ni banyak dosa, mesti Allah tak nak makbulkan doa aku.”

“Penatlah doa, tapi sama je, tak ada apa pun.”

Ini antara dialog seorang manusia yang masih tidak meletakkan dirinya sebagai seorang hamba, yang masih bersangka-sangka dengan Allah, yang masih tidak yakin bahawa Allah Maha memakbulkan doa.

Surah Sad, surah ke 38 ayat 79 dan 80 ada berbunyi,

Iblis: “Ya Tuhanku, tangguhkanlah aku sampai pada hari mereka (manusia) dibangkitkan.”

Allah: “Maka sesungguhnya kamu termasuk golongan yang diberi penangguhan, sampai pada hari yang telah ditentukan waktunya (hari kiamat).”

Ayat ini begitu jelas dan terang sekali, Allah memakbulkan doa dan permintaan iblis yang dilaknat.

Justeru itu kita sebagai manusia seharusnya bersungguh-sungguh dan lebih kuat doanya berbanding iblis.

Kita haruslah yakin bahawa setiap doa dan permintaan kita akan Allah kabulkan. Sematkan di dalam hati kita bahawa sedangkan iblis adalah makhluk yang akan memenuhi neraka jahanam pun Allah perkenankan permintaannya, inikan pula kita manusia yang beriman pada Allah.

Allah Taala berfirman di dalam ayatNya berbunyi,

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah sesungguhnya Aku adalah dekat, Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu.”

Allah sendiri sudah berjanji akan mengabulkan doa. Siapa lagi yang setia mengotakan janji melainkan Allah? Tetapi Allah beritahu lagi bahawa untuk diperkenankan doa, ada syaratnya iaitu,

“Maka hendaklah mereka memenuhi segala perintahKu dan  hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu dalam kebenaran.” (Surah Al-baqarah, ayat ke 186)

Itulah perbezaan manusia dan iblis, tatkala Allah ingin mengabulkan doa dan permintaan.

Kita sangat mulia di sisi Allah, kerana itu Allah mensyaratkan supaya kita sentiasa berada di dalam kebenaran dan keimanan kepadaNya, supaya dengan lebih mudah untuk Dia memberi apa yang kita pintakan dan memberi sebelum kita pohonkan.

Jadinya di dalam bulan Ramadhan yang penuh mulia dan barakah ini, seharusnya kita memperbanyakkan lagi doa.

Tidak lalai dan leka dalam memohon apa yang terbaik buat diri kita. Yakinlah bahawa setiap doa yang kita impikan dan kita harapkan Allah akan memakbulkannya.

Sama ada cepat atau lambat, hanya Allah yang Maha Tahu apa yang terbaik pada setiap hambaNya.

Ramadhan adalah bulan tarbiah, bulan didikan kepada kita untuk meletakkan doa sebagai prioriti pada setiap masa terutamanya minit-minit terakhir sebelum waktu berbuka, supaya di bulan seterusnya kita sudah bersedia dan merasakan kepentingan untuk berdoa di mana sahaja kita berada dan pada bila-bila masa sahaja.

Jangan pernah berputus asa dalam meminta, jangan pernah bersangka buruk dengan Allah.

Mohonlah dan minta sahaja apa yang dihajati kerana Allah Maha Mendengar dan Allah akan berasa sangat malu apabila kita sebagai hamba menadah tangan meminta kepadaNya dan Dia tidak memberi apa-apa.

Seperti di dalam hadith yang berbunyi,

“Dia malu apabila seorang hamba mengangkat kedua tangannya kepada-Nya dan Dia mengembalikan keduanya dalam keadaan kosong tak mendapatkan apa-apa.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Bukankah doa itu senjata orang mukmin? Senjata yang sangat penting buat kita semua.

Ramadhan adalah masa terbaik untuk kita menyenaraikan sebanyak doa yang kita ingin minta pada Allah, kerana Allah itu sangat menantikan doa-doa daripada kita semua.

Dia senantiasa tertunggu-tunggu kehadiran doa kita. Dia sangat kasih kepada hambaNya yang tidak kenal erti putus asa dalam berdoa, walaupun masih tidak diperkenankan lagi.

“Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepada-Ku, pasti Aku kabulkan untukmu’.” (Surah Al-Ghafir 40:60)

Nahh!!!!

Anda masih ragu-ragu dan tidak yakin?

Ambillah masa bersendiri dan muhasabah, renung kembali berapa banyak Allah sudah memberi apa yang kita inginkan, termasuklah rezeki kesihatan, pekerjaan, keluarga, pembelajaran,

Tetapi dek kerana satu permintaan kita masih Allah hold, dan pending, kita terus bersangka buruk dengan Allah.

Jadinya tepuk dada tanya iman,

“Adakah aku golongan yang bersungguh-sungguh dalam berdoa?”

“Adakah aku yakin dan bersangka baik dengan Allah?”

“Adakah aku ikhlas untuk meminta pada Allah?”

Ambil masa dan muhasabah, kita golongan yang mana. Selamat berpuasa dan kencangkan lagi doa anda kepada Dia, Tuhan kita yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

 

Dipetik dari laman iluvislam.my
http://iluvislam.my/doa/

Adakah Kita Mencari Allah Di Saat Susah Sahaja?

 

city-2045453_640.jpg

Di mana Allah di hatimu?

Adakah kita mencari Allah saat kita benar-benar susah sahaja atau pun saat kita ditimpa musibah atau ujian?

Di mana kita letakkan Allah saat kita senang dan gembira?

Allah akan sentiasa menanti kehadiran kita, rintihan kita, doa daripada kita, malah Allah akan sentiasa rindu mendengar suara hamba-hambaNya.

“Kalau hambaKu mendekat kepada diriKu sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Kalau hambaKu mendatangiKu dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.” (Hadith riwayat Bukhari)

Itulah manifestasi hubungan Sang Khaliq terhadap hambaNya yang berusaha untuk sentiasa mencari Allah.

Dalam Al-Quran juga sering menyatakan bahawa Allah itu sangat dekat dengan kita, cuma terkadang diri kita lalai dan leka dalam mengingatiNya.

Kita sering lupa kejayaan dan nikmat yang kita perolehi hari ini adalah di atas rahmat dan kasih sayang daripada Allah.

Kasih sayang Allah begitu terasa walau kita dalam keadaan sulit sekalipun, Allah tidak pernah sekali meninggalkan kita.

Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah, ayat 186,

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Allah dengan penuh sifat Ar-Rahim-Nya, penyayang terhadap hamba-hambanya.

Apabila kita melakukan dosa, Dia sudi memaafkan dan mengampuni segala dosa kita.

Hakikatnya dosa yang kita lakukan tak terkira banyaknya saban hari.

Malah diberikannya kita nikmat bernafas dengan percuma tanpa meminta sebarang bayaran, tetapi kita masih kufur nikmat dan menjadi hamba yang tidak pernah bersyukur.

Peluang umur yang panjang adalah jalan terbaik untuk kita sentiasa bertaubat dan kembali ke jalan yang Allah redha.

Selagi kita masih punya masa, dakaplah cinta Allah dengan sebaiknya.

Balaslah cinta Allah dengan penuh rasa kasih, bahawa Allah menyayangi kita lebih daripada segala-galanya.

Berlarilah menuju Allah dengan mengharapkan pertemuan denganNya adalah sesauatu yang dinantikan.

Berlarilah dengan meninggalkan segala jahiliah yang makin berkarat di dalam diri.

Berlarilah menuju Allah, dengan meninggalkan segala perbuatan keji yang Allah mungkar dan larang.

Janganlah kita begitu utamakan cinta dunia hingga kita ketepikan cinta yang paling agung,yakni cinta Allah.

Kerana redha Allah itu lebih kita dambakan daripada yang lain. Jika ditanyakan soal cinta, jawapan yang terbaik adalah cinta Allah, cinta yang benar-benar suci.

Semoga dengan mencintai Allah sepenuh hati, kelak kita akan bertemu denganNya dalam keadaan Dia tersenyum menyambut kehadiran kita.

 

Sumber: Nurul Syaahidah Salim | iluvislam.my
http://iluvislam.my/adakah-kita-mencari-allah-di-saat-susah-sahaja/

Tazkirah Jumaat

🕌 Al -Khafi Reminder 🕌

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

“Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat ”
(HR An Nasa’i dan Baihaqi)

IBRAH AL-KAHFI: BANKRAP DI AKHIRAT.

Allah telah mengingatkan kita, agar jangan jadi golongan yang bankrap di akhirat. Firmannya:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا • الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا•
“Katakanlah (wahai Muhammad) apakah mahu kami khabarkan kepada kamu berkenaan golongan yang paling rugi amalannya? • Mereka itulah yang sia-sia amalannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka menyangka mereka telah beramal sehabis baik” – al-Kahfi 103-104.

 

🕌 Al -Khafi Reminder 🕌

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
“Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat ”

(HR An Nasa’i dan Baihaqi)

🌸Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Darda bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud , ” sesiapa menghafaz sepuluh ayat permulaan surah al kahfi , maka dia akan terhindar daripada fitnah dajjal ” , (HR Muslim , Abu Daud , An Nasai , At Tirmizi dan Qatadah) 🌸

 
#PERMAS
#BDT
#MAHASISWAPEMANGKINGENERASIISLAM